Tuesday, July 19, 2011

Saidina Abu Bakar As- Siddiq R.A



Abu Bakar as-Siddiq ialah khalifah pertama Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.


Dari segi umur, Saidina Abu Bakar adalah dua tahun lebih muda dari Rasulullah S.A.W. dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan Rasulullah sebelum Rasulullah S.A.W. menjadi Rasul lg. Beliaulah sahabat yang dianggap paling banyak berkorban harta utk menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad S.A.W. Kerana besarnya pengorbanan beliau itulah Rasulullah S.A.W. pernah mengatakan bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pengorbanan Saidina Abu Bakar. Gelaran As-Siddiq yang diberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. Dalam hal ini mari kita petik suatu kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud yang diceritakan sendiri kepadanya oleh Saidina Abu Bakar, tentang bagaimana Saidina Abu Bakar memeluk agama Islam.


Kata Saidina Abu Bakar R.A. ketika menceritakan suatu kisah mengenai dirinya kepada Ibnu Mas'ud, "Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri Yaman. Dia rajin membaca kitab-kitab dan mengajar banyak murid. Dia berkata kepadaku:
"Aku kira tuan datang dan Tanah Haram.


"Benar, jawabku.


"Aku kira tuan berbangsa Quraisy?


"Benar, ujarku lagi.


"Dan apa yang aku lihat, tuan dari keluarga Bani Taiyim?


"Benarlah begitu, tambahku selanjutnya.


Orang tua itu terus menyambung, katanya, "Ada satu lagi hal yang hendak aku tanyakan dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?


Maka pada ketika itu aku pun berkata, "Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.


Maka ujar orang tua itu, "Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.


Maka sesudah dia berkata itu aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, "Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!


Kemudian orang tua tu pun memberi sedikit nasihat kepadaku. Aku tinggal di Yaman untuk beberapa waktu kenana mengurusi perniagaanku dan sebelum meninggalkan negeri itu aku sekali lagi pergi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, "Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?


"Boleh sahaja, jawabku.


Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata, "Adakah engkau tahu yang sudah terjadi? Maka ujarku pula, "Apakah yang terjadi itu?


Jawab mereka, "Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi nabi! Kalaulah tidak mengingat engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.


Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi menemui Muhammad. Setelah menemuinya aku pun mengatakan, "Wahai Muhammad, tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.


Maka ujar baginda, "Bahawa aku adalah pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan untuk sekelian ummat!


Aku pun bertanya kepada baginda, "Apa buktinya?


Jawabnya, "Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.


Aku menambah lagi, "Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?


Baginda menyambung, "Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!


Aku terkejut mendengarkannya lalu bertanya, "Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai sahabatku?


Maka ujar baginda, "Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelumku.


Akhirnya aku berkata, "Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya Pesuruh Allah.


Demikianlah kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Dan menurut riwayat, beliau merupakan lelaki yang pertama yang beriman kepada Rasulullah S.A.W.
Keislaman Saiyidina Abu Bakar telah membawa pengaruh besar di kalangan kaum bangsawan Quraisy kerana dari pengaruh keislamannya itulah maka beberapa orang pemuda bangsawan Quraisy seperti Saidina Uthman Bin Affan, Abdul Rahman Bin Auf, dan Saad Bin Abi Waqqas menuruti jejak langkahnya. Semenjak memeluk Islam, Saidina Abu Bakar telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta seorang sahabat yang paling akrab serta paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W. Sebagai memperlihatkan kecintaan baginda terhadap Saidina Abu Bakar, dapat kita ketahui dari satu dialog yang terjadi antara Rasulullah dengan Amru Bin Al As. Amru seorang sahabat Rasulullah S.A.W. pernah suatu hari menanyakan baginda, "Siapakah di antara manusia yang paling tuan sayangi? Baginda menjawab, "Siti Aisyah, dan kalau lelaki, adalah bapanya.


Selain itu Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah S.A.W. pernah menyanjungi sahabatnya itu dengan sabdanya, "Jika ditimbang iman Abu Bakar As-Siddiq dengan iman sekalian ummat, maka berat lagi iman Abu Bakar. Demikian teguhnya iman Saidina Abu Bakar jika kita memperhatikan pengertian yang terkandung pada sabda Rasulullah S.A.W mengenai dirinya itu. Gelaran As-Siddiq yang diberikan orang terhadap Saidina Abu Bakar adalah lantaran sikap serta pendiriannya yang teguh dalam membenarkan serta membela Rasulullah S.A.W. Andai sekalian ummat manusia mendustakan Muhammad S.A.W, Abu Bakar R.A. akan pasti tampil dengan penuh keyakinan untuk membelanya.


Tidak berapa lama setelah memeluk Islam, Saidina Abu Bakar yang terkenal sebagai saudagar yang kaya itu telah meninggalkan perdagangannya dan meninggalkan semua usaha peribadi lainnya lalu menyerahkan segenap kekayaan dan jiwa raganya untuk perjuangan menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad S.A.W. Beliau telah mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menebus tawanan, orang-orang yang ditangkap atau disiksa. Selain itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu dibebaskan ialah antara yang terkenal dalam sejarah iaitu Bilal Bin Rabah.


Setelah berlakunya Isra' dan Mikraj, segolongan orang yang kurang mempercayai apa yang telah dikhabarkan Rasulullah S.A.W. telah pergi menemui Saidina Abu Bakar untuk mendengarkan pendapatnya tentang dakwaan Nabi Muhammad S.A.W. itu. Tujuan kedatangan mereka mendapatkan Saidina Abu Bakar tidak lain dengan sangkaan tentunya beliau kali ini akan mendustakan kisah yang tidak masuk akal pada fikiran mereka itu. Setelah berita itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar, lalu beliau pun berkata, "Adakah Muhammad berkata begitu? Sahut mereka, "Benar! Maka ujar Saidina Abu Bakar R.A. "Jika Muhammad berkata begitu maka sungguh benarlah apa yang diceritakan itu. Lalu mereka pun terus menyambung, "Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa malam tadi Muhammad sampai ke tanah Syam yg mengambil masa lebih sebulan perjalanan? Maka sahut Abu Bakar dgn bersungguh-sungguh, "Benar! Aku percaya! Malah lebih dari itu pun aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit yang diberitakannya baik pada waktu siang mahupun malam!


Demikian hebatnya kepercayaan sahabat yang paling utama itu. Kerana tegas dan teguhnya iman beliau terhadap agama yang dibawa oleh Muhammad dan terhadap apa yang dikhabarkan oleh baginda, maka beliau telah diberi oleh Rasulullah S.A.W. dengan gelaran As-Siddiq, ertinya yang benar.


Dan tidak menghairankan langsung sikap Abu Bakar itu. Beliau telah mengenali Rasulullah S.A.W. bukan sehari dua, tetapi sudah boleh dikatakan seumur manusia. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu berkata benar, tak pernah berbohong;Al- Amin. Mustahil baginda akan mengkhianati pengikut yang percaya kepadanya. Beliau mengimani sahabatnya itu Pesuruh Allah Yang Maha Kuasa, menerima wahyu daripada Allah. Beliau sudah bertahun-tahun mengikut petunjuk yang diwahyukan Allah kepada sahabatnya itu, maka amat teguhlah iman dalam hatinya.


Tatkala kekejaman orang-orang musyrikin Quraisy terhadap kaum Muslimin yang sedikit jumlahnya di Mekah semakin hebat dan membahayakan, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengadakan mesyuarat di rumah Saidina Abu Bakan R.A. untuk mencari jalan keluar drpd kesulitan yang sedang dihadapi oleh kaum Muslimin. Ketika itulah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada Saidina Abu Bakar bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan baginda supaya melakukan hijrah ke Madinah serta meminta Saidina Abu Bakar supaya menemaninya dalam hijrah tersebut. Dgn perasaan gembira tanpa sedikit kebimbangan pun beliau menyambut permintaan Rasulullah S.A.W.


Dari pintu belakang rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah S.A.W. bersama-sama beliau menuju ke Gunung Tsur dan bersembunyi di gua yang diberi nama Gua Tsur. Ketika suasana amat genting, Saidina Abu Bakar diserang kegelisahan dan cemas kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengetahui di mana Rasulullah sedang bersembunyi, maka pada saat itu turun ayat suci Al Quran dari Surah Taubah yang isinya memuji Saidina Abu Bakar, sebagai orang kedua sesudah Nabi s,a.w. dalam Gua Tsaur. Dalam pada itu Rasulullah S.A.W. pun faham dgn situasi dan kegelisahan sahabatnya itu, lalu Rasulullah berkata, "Apakah yang menggelisahkanmu, bukankah Allah menemani kita?


untuk menghilangkan kebimbangan Saidina Abu Bakar, Rasulullah S.A.W kemudian berkata, "Sekiranya mereka masuk juga ke dalam gua ini kita masih dapat melepaskan diri dari pintu belakang itu, ujar Rasul sambil menunjukkan belakang mereka. Saidina Abu Bakar R.A. pun menoleh ke belakang. Betapa terkejutnya beliau bila dilihatnya pintu belakang yang ditunjuk oleh Rasul itu, padahal pintu tersebut tadinya tidak ada sama sekali. Sebenarnya kebimbangan Abu Bakar ketika di dalam gua itu bukanlah kerana takut nyawanya diragut oleh pihak musuh tetapi yang lebih dibimbangkannya ialah keselamatan jiwa Rasulullah. Beliau pennah berkata, "Yang saya bimbangkan bukanlah mengenai diri saya sendiri, kalau saya terbunuh, yang tewas hanyalah seorang manusia biasa. Tapi jika tuan yang dibunuhnya maka akan hancur satu cita-cita yang suci murni.Akan runtuh keadilan dan akan tegak pula kezaliman.


Kisah ketika dalam gua itu ada disebut dalam Surah Al Baqarah,40: "Kalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dan kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, Di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya (Abu Bakar): Jangan engkau berdukacita; sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenanganNya kepadanya, dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang yang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.


Demikianlah satu lagi keistimewaan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat yang sama-sama menempuh kesukaran dan kepahitan dengan Rasulullah dalam menyampaikan seruan Islam. Saidina Abu Bakar tidak berjauhan dengan Rasulullah sepanjang hidupnya dan menyertai semua peperangan yang disertai oleh baginda. Beliau bukan sahaja berjuang menegakkan Agama Islam dengan segenap jiwa raganya bahkan juga dengan harta kekayaannya. Seluruh kekayaannya habis digunakannya untuk penjuangan menegakkan kalimah Allah. Di kalangan para sahabat beliau tergolong dlm orang yang paling murah hati dan dermawan sekali.


Dalam Perang Tabuk misalnya, Rasulullah S.A.W. telah meminta kepada semua kaum Muslimin agar mengorbankan harta mereka pada jalan Allah. Tiba-tiba Datanglah Saidina Abu Bakar membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh beliau demi jihad itu maka Rasulullah S.A.W terkejut lalu berkata kepadanya:


"Hal sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan, apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?


Pertanyaan Rasulullah S.A.W. itu dijawab oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


Begitulah kehebatan jiwa Saidina Abu Bakar As-Siddiq, suatu contoh kemurahan hati yang tiada bandingannya di dunia. Beliau memang manusia luar biasa kehebatannya yang telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T. untuk menjadi teman akrab Rasulullah s.a.w


Keunggulan beliau dapat dilihat dengan jelas selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. di kala ummat Islam hampir-hampir menjadi panik serta tidak percaya kepada kewafatan baginda. Bahkan sahabat besar Saidina Umar Al Khattab sendiri telah diselubungi kekacauan fikiran dan tampil ke muka umum sambil mencabar dan mengugut sesiapa sahaja yang berani mengatakan baginda telah wafat. Ujar Saidina Umar RA, "Rasulullah tidak wafat, dia hanya pergi menghadap Allah sahaja seperti perginya Nabi Musa yang telah menghilangkan diri dan kaumnya selama empat puluh hari, kemudian pulang semula kepada kaumnya setelah diheboh-hebohkan wafatnya.


Ketika kegawatan itu berlaku, Saidina Abu Bakar sedang berada di suatu kampung Al-Sunnah. Tatkala berita kewafatan Rasulullah itu sampai kepadanya, beliau dengan segera menuju ke Madinah. Di sana beliau dapati ramai orang sedang benkumpul mendengarkan pidato Saidina Umar Al Khattab tadi. Tanpa lengah-lengah lagi Saiyidina Abu Bakar terus ke rumah puterinya Siti Aisyah dan di sanalah beliau dapati mayat Rasulullah S.A.W. terbujur di satu sudut rumah. Beliau lantas membuka wajah Rasulullah dan mengucupkannya, sambil benkata, "Wahai, betapa cantiknya engkau ketika hidup dan betapa cantiknya engkau ketika mati! Kemudian beliau pun keluar mendapatkan orang ramai yang sedang dalam panik itu lalu berkata dengan nada yang keras:


"Wahai kaum Muslimin! Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati. Tetapi barangsiapa yang menyembah Allah maka Allah selama-lamanya hidup tidak mati. Seraya menyambung membacakan sepotong ayat dan Al Quran:


"Muhammad itu tidak lebih dari seorang rasul seperti rasul-rasul yang terdahulu darinya. Jika baginda mati atau terbunuh patutkah kamu berundur ke belakang. Sesiapa yang surut ke belakang, dia tidak akan membahayakan Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.


Sejurus sahaja mendengar ayat itu, Saidina Umar Al Khattab pun terus rebah hingga barulah beliau dan orang ramai Islam yang telah mendengar pidatonya tadi mendapat kepastian bahawa Rasulullah sudah wafat. Kaum Muslimin tentunya telah pernah dengar ayat ini sebelumnya, kerana ayat itu telah turun semasa peperangan Uhud, ketika Rasulullah S.A.W. telah diberitakan mati terkorban dan menyebabkan banyak pejuang-pejuang Islam berundur ke Madinah. Tetapi mereka tidaklah memahami maksud ayat ini seperti yang difahami oleh Saidina Abu Bakar R.A. Ini jelas membuktikan kecerdasan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam memahami Islam.


Ketika Rasulullah S.A.W. wafat, baginda memang tidak meninggalkan pesan tentang siapa yang patut menggantikan baginda sebagai Khalifah ummat Islam. Tetapi setelah lama berbincang, kaum Muslimin dengan suara ramai memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai Khalifah setelah namanya itu dicalonkan oleh Saidina Umar Al Khattab R.A. Pemilihan ini tentulah tepat sekali kerana pada pandangan kaum Muslimin memang beliau lah yang paling layak sekali memegang kedudukan itu memandangkan kelebihan-kelebihannya dari para sahabat yang lain. Apatah lagi beliaulah yang pernah ditunjuk oleh baginda Rasul semasa hayatnya untuk menggantikan baginda sebagai imam sembahyang tatkala baginda sedang uzur.


Setelah dipilih oleh sebahagian besar ummat ketika itu, Saidina Abu Bakar pun memberikan ucapannya yang terkenal yang antara lainnya beliau berkata:


"Wahai sekelian ummat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisi nya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai Allah, maka kamu sekelian tak harus lagi patuh kepadaku.


Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi Allah aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sungguh aku tidak dapat melakukannya, Rasulullah adalah seorang hamba Allah yg mendapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorang pun juga di antara kamu.


Ini adalah satu pembaharuan dalam pemerintahan yang belum pernah dikenali oleh rakyat jelata kerajaan Rome dan Parsi yang memerintah dunia barat dan timur ketika itu. Beliau telah mematuhi manifesto politiknya. Beliau hidup seperti rakyat biasa dan sangat tidak suka didewa-dewakan. Adalah diriwayatkan bahawa pada satu masa ada orang memanggilnya, "Ya Khalifah Allah! Baginda dengan segera memintas cakap orang itu dengan katanya:


"Saya bukan Khalifah Allah, saya hanya Khalifah RasulNya!


Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah beliau terpilih sebagai Khalifah, Saidina Abu Bakar R.A. kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati beliau, di antaranya Abu Ubaidah Bin Jarrah. Sahabat itu mendekati beliau lalu berkata, "Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Abu Bakar R.A. bertanya, "Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saidina Abu Bakar kerana walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan untuk bagi seseorang kepala pemenintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan.


Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan tunjangan secukupnya buat beliau dan buat keluarga beliau yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu barulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah. Semasa bertugas sebagai Khalifah ummat Islam baginda hanya menerima penuntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun iaitu kira-kira lebih kurang 1,200 dolar sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan sebelum wafatnya baginda telah memerintahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.


Kebijaksanaan Saidina Abu Bakar juga ternyata dalam polisinya menyamakan pemberian elaun kepada orang-orang yang berhak agar mereka tidak dipisahkan oleh jurang-jurang perbezaan yang jauh agar tidak lahir satu golongan yang mendapat kedudukan yang lebih istimewa dan golongan-golongan yang lain. Sedangkan beliau sendiri hanya mengambil sekadar keperluan-keperluan asasi buat diri dan keluarganya.


Sebelum wafat,  beliau telah mewasiatkan kepada Saidina Umar Al Khattab agar jangan menghiraukan jenazahnya nanti bila beliau pulang ke rahmatullah, melainkan haruslah dia segera mengirim bala tentera ke Iraq untuk membantu Al Muthanna yang sedang bertempur di Iraq itu. Saidina Abu Bakar tidak lupa mengingatkan Saiyidma Umar apa yang dikerjakannya di waktu Rasulullah wafat dan bagaimana cintanya kepada Rasul dan perhatiannya kepada jenazah baginda yang suci itu tidak mengabaikannya dan melaksanakan kewajipan biarpun yang demikian itu amat berat bagi jiwanya. Dengarlah antara lain kata-katanya kepada Umar Al Khattab R.A.:


"Dengarlah hai Umar! Apa yang akan kukatakan ini dan laksanakanlah. Aku mengharap akan kembali ke hadrat Allah hari ini sebab itu sebelum matahari terbit pada esok hari engkau hendaknya telah mengirim bala bantuan kepada Al Muthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besarnya dapat melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang telah ku lakukan tatkala Rasulullah wafat sedang wafatnya Rasulullah itu adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu. Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan RasulNya, tentu kita telah jatuh dan mendapat siksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah ini telah menjadi lautan api.


Dalam masa pemerintahannya yang singkat Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang memerintah hanya dalam masa dua tahun sahaja itu telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemerintahan Islam yang teguh dan kuat setelah berjaya mengatasi berbagai masalah dalam negeri, dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya. Beliau telah memenuhi segenap janji-janjinya dan dalam masa dua tahun pemerintahannya itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang menjadi lembaran-lembaran yang abadi.


Selama dua tahun pemerintahannya itu beliau telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Beliau telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum Muslimin dan bagi memelihara keagungan Agama Islam. Bahkan beliau telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang ketika umur beliau menginjak 63 tahun. Beliau dikebumikan di samping makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Madinah. Semoga riwayat serta penjuangan beliau menjadi contoh teladan bagi sekelian kaum Muslimin.






sumber:http://man999.tripod.com/Abu_Bakar.htm

No comments:

Post a Comment