Showing posts with label sahabat nabi yg dijamin masuk syurga. Show all posts
Showing posts with label sahabat nabi yg dijamin masuk syurga. Show all posts

Monday, December 12, 2011

Az-Zubair bin Al-Awwam

Abu 'Abdullah Zubair ibn al-Awwam‎ adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Zubair merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda. Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abd Al-Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Zubair memeluk Islam ketika berumur 15 tahun. Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun disiksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya tidak akan kafir kembali sama sekali!".

Zubair adalah perajurit dakwah yang berani menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah. Kepahlawanannya terserlah pertama kali pada waktu Perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pendekarnya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhadap lawan.
Walaupun seluruh tubuh Ubaidah berbalut baju besi sehingga sulit ditembus dengan senjata, Zubair sedia terjun ke medan tempur dan terjadilah perang tanding yang sengit antara Zubair dan Ubaidah. Dalam dua kali putaran Zubair berjaya mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya.

Semasa Perang Uhud pula, Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari itu telah mengajak perang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mahu keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam r.a keluar untuk menghadapinya. Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata: "Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair." Kemudian Baginda berkata lagi: "Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, kerana melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20)

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Aishah binti Abu Bakar dengan pasukan Ali bin Abi Talib, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Selepas itu ketika sedang bersolat, beliau ditikam oleh Amr ibn Jarmouz.

Friday, December 9, 2011

Talhah bin Ubaidillah

       Nama sebenar beliau ialah Uthman bin Amru. Beliau dilahirkan 28 tahun sebelum Hijrah. Berasal dari kaum QUraisy tetapi lain suku dengan Rasulullah s.a.w. Ibu beliau bernama Sa'abah binti al-Hadram berasal dari Yaman. Pada awalnya, Talhah ibn Ubaidillah merupakan seorang peniaga kain. Beliau kerap berniaga dan membawa barangan berharga dari Syria. Sebelum memeluk Islam, Talhah pernah ke Basrah dan bertemu seorang pendita. Pendita ini lah yang memberitahu kepada beliau akan datang seorang Nabi bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib. Setelah pulang ke Makkah, beliau bertemu Abu Bakar r.a dan mengadap Rasulullah untuk mengucap dua kalimah syahadah. Beliau memeluk Islam semasa umurnya 18 tahun. 


Beliau terkenal sebagai seorang saudagar yang kaya raya. Menurut Ibnu Khaldun dalam muqaddimah, diera Usman, kemasukan harian Talhah dari penjuru Iraq berjumlah lebih kurang 1,000 dinar emas setiap hari. Pada zaman nabi, beliau turut serta dalam Perang Uhud disamping peperangan yang lain selepas itu. Beliau tidak dapat menyertai Peperang Badar disebabkan pada masa itu beliau berada di Syam.

Antara ciri-ciri unggul yang ada pada Talhah adalah sifat beraninya semasa berada didalam medan perjuangan. Sifat ini terserlah semasa Perang Uhud pada tahun ke 3 Hijrah. Semasa tentera kafir Quraisy melakukan serangan mengejut nabi telah tercedera dan pada ketika itu sahabat yang pertama berada disisi nabi bagi melindungi baginda adalah Talhah bin Ubaidillah. Beliau menjadikan badannya sebagai perisai semasa menghadapi serangan musuh yang datang bertubi-tubi bagi membunuh nabi. Akhirnya badannya dipenuhi lebih kurang 70 kesan luka, jari-jari tangannya juga putus.  Rasulullah s.a.w menggelarkan beliau sebagai "Syahid yang hidup" kerana keadaan fizikalnya ketika itu yang sudah cedera akibat terlibat dengan banyak pertempuran bersama baginda. Hadis Nabi berkenaan kehebatan beliau:
"Barangsiapa yang ingin melihat syahid yang sedang berjalan di muka bumi ini, lihatlah pada Talhah ibn Ubaidillah".


Beliau turut terlibat dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. Ketika Perang Jamal, beliau berada di pihak Saidatina Aishah binti Abu Bakar bersama Zubair ibn Awwam menentang Khalifah Ali bin Abi Talib. Beliau akhirnya terkorban akibat lembing beracun yang dilemparkan oleh Marwan bin al-Hakam pada tahun 36 Hijrah sewaktu berusia 63 tahun.   

Friday, November 25, 2011

Saidina Ali bin Abi Talib R.A

     

       Saidina Ali Abi Talib ialah Imam Islam pertama selepas Rasulullah SAW dan khalifah terakhir Islam daripada Khulafa al-Rasyidin. Beliau juga ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengahwini anak perempuan Rasulullah s.a.w. iaitu Fatimah.

Saidina Ali dilahirkan di Makkah pada tahun 598. Bapa Saidina Ali, Abu Talib ialah pembesar puak Quraisy dan juga ialah bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w.. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu daripada Allah s.w.t., Saidina Ali merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam.Beliau bertanya kepada Rasulullah saw "wahai saudaraku, upacara apa yang telah engkau lakukan tadi?".

Baginda menjawab "wahai Ali, aku sedang menyembah Allah swt, Tuhan yang menjadikan aku dan sekalian makhluk, marilah bersamaku mengesakan Tuhan yang sejati ini."

"Izinkan aku bertanya dengan ibu dan ayahku terlebih dahulu." Balas Saidina Ali.
Ketika ini umurnya baru berusia 10 tahun.

Keesokan harinya beliau bertemu kembali Rasulullah saw dan berkata "Sedangkan Tuhan menjadikan kedua ibu bapaku tanpa berbincang terlebih dahulu dengan mereka, jadi apa perlunya aku berbincang dengan mereka sedang Allah swt itu adalah Tuhanku!"

Terperanjat Baginda mendengar jawapan yang dilontarkan oleh seorang budak yang masih kecil tetapi keberaniannya amat luar biasa. Sedangkan di saat itu kaumnya begitu fanatik dengan agama nenek moyang mereka. Menjadikan Latta dan Uzza sabagai tuhan. Pantang besar sesiapa yang berani menghina keyakinan dan keimanan yang dianggap suci ini.

Beliau juga dididik menjadi seorang ilmuan yang mempunyai ilmu mencakupi pelbagai bidang terutamanya ilmu agama, ilmu kehidupan dan peperangan.Selain itu, Saidina Ali sendiri memiliki kemahiran bercakap dan lantang bersuara.Ini sangat membantu beliau untuk berhujah dengan masyarakat arab yang sangat suka perdebatan.
 
Saidina Ali sentiasa menyokong Nabi Muhammad s.a.w. semasa kezaliman terhadap orang muslim berlaku. Pada tahun 622 masihi, semasa peristiwa hijrah berlaku, Saidina Ali mengambil risiko dengan tidur di katil Rasulullah s.a.w. lantas berjaya mengelakkan satu percubaan membunuh baginda.

Semasa berlakunya Perang Badar, Saidina Ali menumpaskan seorang jaguh Quraisy iaitu Walid ibni Utba di samping askar-askar Makkah yang lain. Disamping itu para sahabat Rasulullah juga memainkan peranan yang penting di sisi Nabi sebagai pejuang agama Allah. Beliau mengahwini Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w. Ketika itu beliau berumur 25 tahun dan Siti Fatimah berumur 18 tahun. Kerana kemiskinannya Saidina Ali menjual baju besi perangnya untuk dijadikan mahar. walaupun begitu para sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman dan Saidina Abdul Rahman bin Auf berbesar hati mengeluarkan perbelanjaan majlis perkahwinan kedua pengantin itu demi memuliakan Rasulullah SAW, kekasih yang amat mereka cintai.
Sepanjang sepuluh tahun Nabi Muhammad s.a.w. mengetuai penduduk Madinah, Saidina Ali senantiasa menolong dan membantu baginda demi kemajuan umat Islam.

Selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 632 masihi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah pertama umat Islam. Adalah dikatakan bahawa Saidina Ali terus menerima Saidina Abu Bakar sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW sekali gus menafikan fitnah yang dilontarkan oleh kaum Syiah. Ahli Sunah Waljamaah percaya perlantikan Saidina Abu Bakar merupakan sesuatu yang tepat sekali mengikut syariat Allah dan Rasulullah. Malah Saiyidina Ali menjadi salah seorang tentera Islam di bawah pemerintahan Saiyidina Abu Bakar untuk memerangi kaum yang murtad dan tidak mahu membayar zakat. Golongan Syiah pula percaya memandangkan Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu kepada Rasulullah s.a.w. maka beliaulah yang seharusnya dilantik menjadi khalifah.

Pada tahun 656 masihi, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman bin Affan wafat kerana dibunuh oleh puak pemberontak di dalam rumahnya sendiri. Pemberontakan mereka atas sebab tidak puas hati dengan Saidina Uthman yang dikatakan mengamalkan nepotisme dan menggunakan harta baitul mal untuk keluarganya. Atas keputusan ahli Syura mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah.

 Perkara pertama beliau lakukan selepas dilantik menjadi khalifah ialah mencari pembunuh saidina Uthman mengikut saluran undang-undang Islam. dengan menghapuskan pemberontakan yang hendak dibuat oleh golongan Rafidhah yang menghasut para sahabat. Isteri Rasulullah iaitu Ummul Mukminin Saidatina Aisyah, dan dua orang sahabat Nabi iaitu Talhah ibn Ubaidillah dan Zubair ibn Awwam telah terlibat sama. Pemberontakan itu berjaya ditumpaskan oleh Saidina Ali dalam Perang Jamal (juga dikenali sebagai Perang Unta). Dalam peperangan ini, Talhah dan Zubair terkorban akibat dibunuh oleh golongan Rafidhah yang mengaku sebagai pengikut Saidina Ali. Manakala Saidatina Aisyah dikembalikan ke Madinah oleh Saidina Ali. Beliau menjalankan satu misi dengan mengarahkan 100 orang wanita menyamar lelaki dan menutup muka, lalu menarik unta Ummul Mukminin Aisyah kembali ke Madinah.
Namun ada juga yang mengatakan: Keluarnya Aisyah bersama Thalhah dan Az Zubair bin Al Awwam ke Bashrah dalam rangka mempersatukan kekuatan mereka bersama Ali bin Abi Thalib untuk menegakkan hukum qishash terhadap para pembunuh Utsman bin Affan. Hanya Ali bin Abi Thalib sahaja meminta penundaan untuk menunaikan permintaan qishash tersebut. Ini semua mereka lakukan berdasarkan ijtihad walaupun Ali bin Abi Thalib lebih mendekati kebenaran daripada mereka. (Daf'ul Kadzib 216-217)

Selepas itu, Saidina Ali melantik gabenor-gabenor baru bagi menggantikan pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh Saidina Uthman. Saidina Ali memindahkan pusat pentadbiran Islam daripada Madinah ke Kufah, Iraq. Kota Damsyik, Syria pula ditadbir oleh Muawiyah, Gabebor Syria dan saudara Saidina Uthman. Muawiyah telah dilantik sebagai Gabenor pada masa pemerintahan Saidina Umar lagi.
Muawiyah, yang menyimpan cita-cita politik yang besar, berpendapat bahawa siasatan berkenaan dengan pembunuhan Saidina Uthman adalah merupakan keutamaan bagi negara ketika itu dan beliau ingin mengetahui siapakah pembunuh Saidina Uthman dan pembunuh tersebut mestilah dihukum qisas. Bagi Saidina Ali, beliau berpendapat keadaan dalam negara hendaklah diamankan terlebih dahulu dengan seluruh penduduk berbaiah kepadanya sebelum beliau menyiasat kes pembunuhan Saidina Uthman. Muawiyah kemudiannnya menyatakan rasa kesal dengan kelambatan Saidina Ali menyiasat kematian Saidina Uthman, lalu melancarkan serangan ke atas Saidina Ali. Akhirnya terjadilah Perang Siffin di antara Muawiyah dan Saidina Ali. Di dalam peperangan ini antara para sahabat yang terlibat adalah Amru Al-Ash, Ammar ibn Yasir, Abdullah ibn Amru Al Ash, Abdullah ibn Abbas.
Ada di antara para sahabat bersikap berkecuali di dalam hal ini. Antaranya adalah Abdullah ibn Umar, Muhammad ibn Maslamah, Sa'ad ibn Abi Waqqas, Usamah ibn Zaid.


Makam Saidina Ali
Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun karena dibunuh oleh Abdrrahman bin Muljam, seorang yang berasal dari golongan Khawarij (pembangkang) saat mengimami solat subuh di masjid Kufah, pada tanggal 19 Ramadhan, dan Saidina Ali R.A menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 21 Ramadhan tahun 40 Hijriyah.

Thursday, November 24, 2011

Saidina Uthman Affan R.A

       
         Saidina Uthman bin Affan R.A merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad S.A.W. Ketika beliau menjadi khalifah, berlaku pertelingkahan dikalangan umat Islam mengenai cara bacaan Al-Quran. Disebabkan oleh itu beliau telah meminjam suhuf, (kumpulan penulisan Al-Quran daripada Hafsa. Selepas itu Saidina Uthman telah memerintahkan empat orang sahabat untuk menyalin semula Al-Quran dalam bentuk yang sempurna yang dikenali sebagai Mushaf Uthman. Salinan Mushaf Uthman tersebut dihantar keseluruh pusat jajahan bagi mengantikan salinan-salinan yang lain

      Saidina Uthman dilahirkan di dalam sebuah keluarga Quraish yang kaya di Makkah beberapa tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Dia ialah salah seorang daripada orang yang pertama sekali memeluk Islam dan amat dikenali kerana sifat dermawannya kepada orang yang susah. Beliau juga berhijrah ke Habshah dan kemudian penghijrahan dari Makkah ke Madinah.

   Setelah berada di Madinah, Saiyidina Uthman R.A. pun mulalah menjalankan usaha perniagaannya hingga beliau berjaya menjadi saudagar yang kaya. Namun demikian beliau tidak teragak-agak sedikitpun bagi mempergunakan seluruh kekayaan dan harta bendanya bagi menyahut seruan jihad bagi menegakkan kesucian Islam. Sebagai seorang sahabat besar, banyak sekali pengorbanan Saiyidina Uthman Bin Affan terhadap Islam. Di zaman permulaan perjuangan Islam di Madinah, pernah kaum Muslimin menghadapi kekurangan air, lalu Saiyidina Uthman Bin Affan telah membeli sebuah kolam yang bernama Bir Ruma dan seorang Yahudi. Pada saat itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barangsiapa yang antara kamu yang membeli sumur Ruma lalu dijadikannya wakaf bagi keperluan kaum Muslimin serta ia menimba air sumur tersebut maka orang yang berbuat demikian itu Allah akan menyediakan tempat minuman baginya dalam syurga. Begitu juga tatkala Masjid Madinah rnenjadi terasa sempit sebab semakin banyaknya orang yang bersyalat di dalamnya, maka dengan spontan Saiyidina Uthman membeli lima rumah yang sederet di samping masjid untuk dibongkar, kemudian dibangunkan tambahan masjid agar menjadi lebih luas dan besar lagi.

      Selain daripada pengorbanan harta benda, Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. juga adalah sahabat yang paling banyak membantu Rasulullah s.a.w. dalam berbagai masalah. Beliau adalah salah seorang penulis wahyu dan juga pernah menjadi utusan Rasul untuk menemui kaum Quraisy pada tahun keenam hijrah. Disebabkan besarnya pengorbanannya terhadap Islam maka tidaklah menghairankan kiranya beliau tergolong salah seorang yang paling disayangi oleh Rasulullah s.a.w. pada waktu wafat baginda.

       Selain memiliki sifat pemalu, Saiyidina Uthman R.A. ialah seorang sahabat akrab Rasulullah s.a.w. yang masyhur dengan sifat waraknya, kuat beribadat dan amat taqwa kepada Allah, dia mengerjakan segala perintah Allah dan sekali-kali tidak melanggar larangan Allah. Pada tiap-tiap tahun beliau menunaikan ibadah Haji dan dalam sepanjang tahun pula beliau berpuasa setiap hari kecuali pada hari-hari yang ditegah berpuasa. Beliau sangat mengambil berat terhadap kaum keluarganya dan sangat bertimbangrasa dan kasih mesra kepada mereka. Beliausangat takut akan kemurkaan Allah, bila beliau mendengar bacaan Qur'an darihal azab api neraka maka air matanya bercucuran keluar oleh rasa takutnya.

         Saiyidina Uthman Bin Affan R.A. adalah Khalifah Islam yang ketiga sesudah Saiyidina Umar Al Khattab R.A. Beliau telah memerintah Kerajaan Islam hampir sebelas tahun lamanya dan tahun Masihi 644 hingga 655 Masihi. Beliau memperoleh gelaran "Zun Nurain yang ertinya yang memiliki dua cahaya. Sebabnya ialah kerana Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya iaitu yang pertama kali dengan Rugayyah dan sesudah wafatnya semasa Perang Badar, maka Rasulullah s.a.w. telah mengahwinkannya pula dengan Kalthum. Begitulah besarnya kecintaan dan penghormatan Rasulullah s.a.w. terhadap Saiyidina Uthman R.A. Tatkala isterinya yang kedua itu pula meninggal, Rasulullah s.a.w. telah berkata kepadanya, "Jika ada anak perempuanku lagi hai Uthman, tentu engkau ku ambil sebagai menantu.
         Golongan Syiah percaya bahawa Saidina Ali Abi Talib yang sepatutnya menjadi khalifah memandangkan beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w.. Mereka percaya bahawa Saidina Uthman tamak dan mementingkan saudara sendiri dalam melantik pentadbir baru tanah jajahan Islam.

Makam Saidina Uthman
         Setelah keadaan krisis menjadi bertambah genting dan mencemaskan rentetan dari tindakan golongan pemberontak yang mengepung rumah Sayidina Othman bin Affan r.a selama 40 hari, terdengar berita yang menyatakan tentang ketibaan pasukan tentera untuk membantu melindungi Khalifah yang sedang terkepung. Berita tersebut menyebabkan para pemberontak merasa ketakutan, lalu mereka cepat-cepat menyerbu masuk ke rumah Khalifah kemudian membunuhnya pada malam 18 Zulhijah tahun 35 Hijrah. .

Wednesday, November 23, 2011

Saidina Umar Al-Khatab R.A


Saidina Umar al-Khattab (c. 581 - November, 644) ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak bani Adi, Quraish. Beliau menjadi khalifah kedua dalam Khulafa Ar-Rashidin pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah.

      Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya bernama Khattab bin Nufaul Bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Beliau juga berilmu iaitu merupakan perkara yang amat jarang pada masa tersebut. Berbeza dengan Saidina Abu Bakar yang bersifat lemah lembut, Saidina Umar merupakan seorang yang lantang dan berani, sebelum dan selepas keislaman beliau.

      Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Beliau adalah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca Al Quran. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

  Sifat beliau yang berani tidak sedikit pun menimbulkan bongkak dalam hatinya. Malah beliau antara sahabat Nabi yang merendah diri. Dari Ubaidullah bin Umar menceritakan;

Suatu hari para sahabat melihat Umar memikul tempat air di bahunya. Lalu mereka bertanya : "Wahai Amirul Mukminin ! Mengapa tuan sendiri yang memikul air ini ?" Jawab Umar al-Khattab : "Saya merasakan bahawa diri saya telah takbur, lalu saya mengangkat air ini untuk menundukkannya."

Dalam kisah yang lain, Umar pada waktu malam, selalu dilihat menangisi dan meratapi kesalahan-kesalahan dan dosa kealpaan yang dilakukan di masa lampau sebelum beliau Islam. Antara perkara yang pernah dilakukan olehnya, yang sangat dikesali ialah tindakannya menanam anak perempuannya hidup-hidup. Ini merupakan amalan biasa Arab Jahiliah yang memandang anak perempuan sebagai satu 'beban' atau perkara 'malang'. Beliau pernah mengeluarkan kata-kata;

"Aku hanyalah seorang Umar. Jika tidak kerana Islam, tiadalah kemuliaanku. Andai semua manusia pergi ke syurga kecuali seorang, aku sangat bimbang orang itu ialah aku." Ini menunjukkan betapa tawadhuk nya hati Saidina Umar.

       Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 masihi. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

      Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada diantara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.
Pada tahun 637, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.
Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.
Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.

Makam Saidina Umar
Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Majusi Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah atau Fairuz. Abu Lu'lu'ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..

Tuesday, July 19, 2011

Saidina Abu Bakar As- Siddiq R.A



Abu Bakar as-Siddiq ialah khalifah pertama Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Qahafah.


Dari segi umur, Saidina Abu Bakar adalah dua tahun lebih muda dari Rasulullah S.A.W. dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan Rasulullah sebelum Rasulullah S.A.W. menjadi Rasul lg. Beliaulah sahabat yang dianggap paling banyak berkorban harta utk menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad S.A.W. Kerana besarnya pengorbanan beliau itulah Rasulullah S.A.W. pernah mengatakan bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pengorbanan Saidina Abu Bakar. Gelaran As-Siddiq yang diberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan Nabi Muhammad S.A.W. Dalam hal ini mari kita petik suatu kisah yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud yang diceritakan sendiri kepadanya oleh Saidina Abu Bakar, tentang bagaimana Saidina Abu Bakar memeluk agama Islam.


Kata Saidina Abu Bakar R.A. ketika menceritakan suatu kisah mengenai dirinya kepada Ibnu Mas'ud, "Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri Yaman. Dia rajin membaca kitab-kitab dan mengajar banyak murid. Dia berkata kepadaku:
"Aku kira tuan datang dan Tanah Haram.


"Benar, jawabku.


"Aku kira tuan berbangsa Quraisy?


"Benar, ujarku lagi.


"Dan apa yang aku lihat, tuan dari keluarga Bani Taiyim?


"Benarlah begitu, tambahku selanjutnya.


Orang tua itu terus menyambung, katanya, "Ada satu lagi hal yang hendak aku tanyakan dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat perutmu?


Maka pada ketika itu aku pun berkata, "Aku keberatan hendak memperlihatkan selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.


Maka ujar orang tua itu, "Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur. Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.


Maka sesudah dia berkata itu aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, "Demi Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!


Kemudian orang tua tu pun memberi sedikit nasihat kepadaku. Aku tinggal di Yaman untuk beberapa waktu kenana mengurusi perniagaanku dan sebelum meninggalkan negeri itu aku sekali lagi pergi menemui orang tua tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, "Bolehkah tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?


"Boleh sahaja, jawabku.


Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata, "Adakah engkau tahu yang sudah terjadi? Maka ujarku pula, "Apakah yang terjadi itu?


Jawab mereka, "Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi nabi! Kalaulah tidak mengingat engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.


Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi menemui Muhammad. Setelah menemuinya aku pun mengatakan, "Wahai Muhammad, tuan telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.


Maka ujar baginda, "Bahawa aku adalah pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan untuk sekelian ummat!


Aku pun bertanya kepada baginda, "Apa buktinya?


Jawabnya, "Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.


Aku menambah lagi, "Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?


Baginda menyambung, "Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada engkau!


Aku terkejut mendengarkannya lalu bertanya, "Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai sahabatku?


Maka ujar baginda, "Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelumku.


Akhirnya aku berkata, "Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku naik saksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad) sebenarnya Pesuruh Allah.


Demikianlah kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Dan menurut riwayat, beliau merupakan lelaki yang pertama yang beriman kepada Rasulullah S.A.W.
Keislaman Saiyidina Abu Bakar telah membawa pengaruh besar di kalangan kaum bangsawan Quraisy kerana dari pengaruh keislamannya itulah maka beberapa orang pemuda bangsawan Quraisy seperti Saidina Uthman Bin Affan, Abdul Rahman Bin Auf, dan Saad Bin Abi Waqqas menuruti jejak langkahnya. Semenjak memeluk Islam, Saidina Abu Bakar telah menjadi pembela Islam yang paling utama serta seorang sahabat yang paling akrab serta paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W. Sebagai memperlihatkan kecintaan baginda terhadap Saidina Abu Bakar, dapat kita ketahui dari satu dialog yang terjadi antara Rasulullah dengan Amru Bin Al As. Amru seorang sahabat Rasulullah S.A.W. pernah suatu hari menanyakan baginda, "Siapakah di antara manusia yang paling tuan sayangi? Baginda menjawab, "Siti Aisyah, dan kalau lelaki, adalah bapanya.


Selain itu Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah S.A.W. pernah menyanjungi sahabatnya itu dengan sabdanya, "Jika ditimbang iman Abu Bakar As-Siddiq dengan iman sekalian ummat, maka berat lagi iman Abu Bakar. Demikian teguhnya iman Saidina Abu Bakar jika kita memperhatikan pengertian yang terkandung pada sabda Rasulullah S.A.W mengenai dirinya itu. Gelaran As-Siddiq yang diberikan orang terhadap Saidina Abu Bakar adalah lantaran sikap serta pendiriannya yang teguh dalam membenarkan serta membela Rasulullah S.A.W. Andai sekalian ummat manusia mendustakan Muhammad S.A.W, Abu Bakar R.A. akan pasti tampil dengan penuh keyakinan untuk membelanya.


Tidak berapa lama setelah memeluk Islam, Saidina Abu Bakar yang terkenal sebagai saudagar yang kaya itu telah meninggalkan perdagangannya dan meninggalkan semua usaha peribadi lainnya lalu menyerahkan segenap kekayaan dan jiwa raganya untuk perjuangan menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad S.A.W. Beliau telah mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menebus tawanan, orang-orang yang ditangkap atau disiksa. Selain itu beliau juga telah membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang hamba yang dibelinya lalu dibebaskan ialah antara yang terkenal dalam sejarah iaitu Bilal Bin Rabah.


Setelah berlakunya Isra' dan Mikraj, segolongan orang yang kurang mempercayai apa yang telah dikhabarkan Rasulullah S.A.W. telah pergi menemui Saidina Abu Bakar untuk mendengarkan pendapatnya tentang dakwaan Nabi Muhammad S.A.W. itu. Tujuan kedatangan mereka mendapatkan Saidina Abu Bakar tidak lain dengan sangkaan tentunya beliau kali ini akan mendustakan kisah yang tidak masuk akal pada fikiran mereka itu. Setelah berita itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar, lalu beliau pun berkata, "Adakah Muhammad berkata begitu? Sahut mereka, "Benar! Maka ujar Saidina Abu Bakar R.A. "Jika Muhammad berkata begitu maka sungguh benarlah apa yang diceritakan itu. Lalu mereka pun terus menyambung, "Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa malam tadi Muhammad sampai ke tanah Syam yg mengambil masa lebih sebulan perjalanan? Maka sahut Abu Bakar dgn bersungguh-sungguh, "Benar! Aku percaya! Malah lebih dari itu pun aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit yang diberitakannya baik pada waktu siang mahupun malam!


Demikian hebatnya kepercayaan sahabat yang paling utama itu. Kerana tegas dan teguhnya iman beliau terhadap agama yang dibawa oleh Muhammad dan terhadap apa yang dikhabarkan oleh baginda, maka beliau telah diberi oleh Rasulullah S.A.W. dengan gelaran As-Siddiq, ertinya yang benar.


Dan tidak menghairankan langsung sikap Abu Bakar itu. Beliau telah mengenali Rasulullah S.A.W. bukan sehari dua, tetapi sudah boleh dikatakan seumur manusia. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu berkata benar, tak pernah berbohong;Al- Amin. Mustahil baginda akan mengkhianati pengikut yang percaya kepadanya. Beliau mengimani sahabatnya itu Pesuruh Allah Yang Maha Kuasa, menerima wahyu daripada Allah. Beliau sudah bertahun-tahun mengikut petunjuk yang diwahyukan Allah kepada sahabatnya itu, maka amat teguhlah iman dalam hatinya.


Tatkala kekejaman orang-orang musyrikin Quraisy terhadap kaum Muslimin yang sedikit jumlahnya di Mekah semakin hebat dan membahayakan, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengadakan mesyuarat di rumah Saidina Abu Bakan R.A. untuk mencari jalan keluar drpd kesulitan yang sedang dihadapi oleh kaum Muslimin. Ketika itulah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada Saidina Abu Bakar bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan baginda supaya melakukan hijrah ke Madinah serta meminta Saidina Abu Bakar supaya menemaninya dalam hijrah tersebut. Dgn perasaan gembira tanpa sedikit kebimbangan pun beliau menyambut permintaan Rasulullah S.A.W.


Dari pintu belakang rumah Saidina Abu Bakar, Rasulullah S.A.W. bersama-sama beliau menuju ke Gunung Tsur dan bersembunyi di gua yang diberi nama Gua Tsur. Ketika suasana amat genting, Saidina Abu Bakar diserang kegelisahan dan cemas kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengetahui di mana Rasulullah sedang bersembunyi, maka pada saat itu turun ayat suci Al Quran dari Surah Taubah yang isinya memuji Saidina Abu Bakar, sebagai orang kedua sesudah Nabi s,a.w. dalam Gua Tsaur. Dalam pada itu Rasulullah S.A.W. pun faham dgn situasi dan kegelisahan sahabatnya itu, lalu Rasulullah berkata, "Apakah yang menggelisahkanmu, bukankah Allah menemani kita?


untuk menghilangkan kebimbangan Saidina Abu Bakar, Rasulullah S.A.W kemudian berkata, "Sekiranya mereka masuk juga ke dalam gua ini kita masih dapat melepaskan diri dari pintu belakang itu, ujar Rasul sambil menunjukkan belakang mereka. Saidina Abu Bakar R.A. pun menoleh ke belakang. Betapa terkejutnya beliau bila dilihatnya pintu belakang yang ditunjuk oleh Rasul itu, padahal pintu tersebut tadinya tidak ada sama sekali. Sebenarnya kebimbangan Abu Bakar ketika di dalam gua itu bukanlah kerana takut nyawanya diragut oleh pihak musuh tetapi yang lebih dibimbangkannya ialah keselamatan jiwa Rasulullah. Beliau pennah berkata, "Yang saya bimbangkan bukanlah mengenai diri saya sendiri, kalau saya terbunuh, yang tewas hanyalah seorang manusia biasa. Tapi jika tuan yang dibunuhnya maka akan hancur satu cita-cita yang suci murni.Akan runtuh keadilan dan akan tegak pula kezaliman.


Kisah ketika dalam gua itu ada disebut dalam Surah Al Baqarah,40: "Kalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dan kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, Di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya (Abu Bakar): Jangan engkau berdukacita; sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenanganNya kepadanya, dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang yang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.


Demikianlah satu lagi keistimewaan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat yang sama-sama menempuh kesukaran dan kepahitan dengan Rasulullah dalam menyampaikan seruan Islam. Saidina Abu Bakar tidak berjauhan dengan Rasulullah sepanjang hidupnya dan menyertai semua peperangan yang disertai oleh baginda. Beliau bukan sahaja berjuang menegakkan Agama Islam dengan segenap jiwa raganya bahkan juga dengan harta kekayaannya. Seluruh kekayaannya habis digunakannya untuk penjuangan menegakkan kalimah Allah. Di kalangan para sahabat beliau tergolong dlm orang yang paling murah hati dan dermawan sekali.


Dalam Perang Tabuk misalnya, Rasulullah S.A.W. telah meminta kepada semua kaum Muslimin agar mengorbankan harta mereka pada jalan Allah. Tiba-tiba Datanglah Saidina Abu Bakar membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh beliau demi jihad itu maka Rasulullah S.A.W terkejut lalu berkata kepadanya:


"Hal sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan, apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?


Pertanyaan Rasulullah S.A.W. itu dijawab oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. "Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.


Begitulah kehebatan jiwa Saidina Abu Bakar As-Siddiq, suatu contoh kemurahan hati yang tiada bandingannya di dunia. Beliau memang manusia luar biasa kehebatannya yang telah ditakdirkan oleh Allah S.W.T. untuk menjadi teman akrab Rasulullah s.a.w


Keunggulan beliau dapat dilihat dengan jelas selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. di kala ummat Islam hampir-hampir menjadi panik serta tidak percaya kepada kewafatan baginda. Bahkan sahabat besar Saidina Umar Al Khattab sendiri telah diselubungi kekacauan fikiran dan tampil ke muka umum sambil mencabar dan mengugut sesiapa sahaja yang berani mengatakan baginda telah wafat. Ujar Saidina Umar RA, "Rasulullah tidak wafat, dia hanya pergi menghadap Allah sahaja seperti perginya Nabi Musa yang telah menghilangkan diri dan kaumnya selama empat puluh hari, kemudian pulang semula kepada kaumnya setelah diheboh-hebohkan wafatnya.


Ketika kegawatan itu berlaku, Saidina Abu Bakar sedang berada di suatu kampung Al-Sunnah. Tatkala berita kewafatan Rasulullah itu sampai kepadanya, beliau dengan segera menuju ke Madinah. Di sana beliau dapati ramai orang sedang benkumpul mendengarkan pidato Saidina Umar Al Khattab tadi. Tanpa lengah-lengah lagi Saiyidina Abu Bakar terus ke rumah puterinya Siti Aisyah dan di sanalah beliau dapati mayat Rasulullah S.A.W. terbujur di satu sudut rumah. Beliau lantas membuka wajah Rasulullah dan mengucupkannya, sambil benkata, "Wahai, betapa cantiknya engkau ketika hidup dan betapa cantiknya engkau ketika mati! Kemudian beliau pun keluar mendapatkan orang ramai yang sedang dalam panik itu lalu berkata dengan nada yang keras:


"Wahai kaum Muslimin! Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati. Tetapi barangsiapa yang menyembah Allah maka Allah selama-lamanya hidup tidak mati. Seraya menyambung membacakan sepotong ayat dan Al Quran:


"Muhammad itu tidak lebih dari seorang rasul seperti rasul-rasul yang terdahulu darinya. Jika baginda mati atau terbunuh patutkah kamu berundur ke belakang. Sesiapa yang surut ke belakang, dia tidak akan membahayakan Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.


Sejurus sahaja mendengar ayat itu, Saidina Umar Al Khattab pun terus rebah hingga barulah beliau dan orang ramai Islam yang telah mendengar pidatonya tadi mendapat kepastian bahawa Rasulullah sudah wafat. Kaum Muslimin tentunya telah pernah dengar ayat ini sebelumnya, kerana ayat itu telah turun semasa peperangan Uhud, ketika Rasulullah S.A.W. telah diberitakan mati terkorban dan menyebabkan banyak pejuang-pejuang Islam berundur ke Madinah. Tetapi mereka tidaklah memahami maksud ayat ini seperti yang difahami oleh Saidina Abu Bakar R.A. Ini jelas membuktikan kecerdasan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam memahami Islam.


Ketika Rasulullah S.A.W. wafat, baginda memang tidak meninggalkan pesan tentang siapa yang patut menggantikan baginda sebagai Khalifah ummat Islam. Tetapi setelah lama berbincang, kaum Muslimin dengan suara ramai memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai Khalifah setelah namanya itu dicalonkan oleh Saidina Umar Al Khattab R.A. Pemilihan ini tentulah tepat sekali kerana pada pandangan kaum Muslimin memang beliau lah yang paling layak sekali memegang kedudukan itu memandangkan kelebihan-kelebihannya dari para sahabat yang lain. Apatah lagi beliaulah yang pernah ditunjuk oleh baginda Rasul semasa hayatnya untuk menggantikan baginda sebagai imam sembahyang tatkala baginda sedang uzur.


Setelah dipilih oleh sebahagian besar ummat ketika itu, Saidina Abu Bakar pun memberikan ucapannya yang terkenal yang antara lainnya beliau berkata:


"Wahai sekelian ummat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisi nya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai Allah, maka kamu sekelian tak harus lagi patuh kepadaku.


Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi Allah aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sungguh aku tidak dapat melakukannya, Rasulullah adalah seorang hamba Allah yg mendapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorang pun juga di antara kamu.


Ini adalah satu pembaharuan dalam pemerintahan yang belum pernah dikenali oleh rakyat jelata kerajaan Rome dan Parsi yang memerintah dunia barat dan timur ketika itu. Beliau telah mematuhi manifesto politiknya. Beliau hidup seperti rakyat biasa dan sangat tidak suka didewa-dewakan. Adalah diriwayatkan bahawa pada satu masa ada orang memanggilnya, "Ya Khalifah Allah! Baginda dengan segera memintas cakap orang itu dengan katanya:


"Saya bukan Khalifah Allah, saya hanya Khalifah RasulNya!


Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah beliau terpilih sebagai Khalifah, Saidina Abu Bakar R.A. kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati beliau, di antaranya Abu Ubaidah Bin Jarrah. Sahabat itu mendekati beliau lalu berkata, "Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Abu Bakar R.A. bertanya, "Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saidina Abu Bakar kerana walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan untuk bagi seseorang kepala pemenintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan.


Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan tunjangan secukupnya buat beliau dan buat keluarga beliau yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu barulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah. Semasa bertugas sebagai Khalifah ummat Islam baginda hanya menerima penuntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun iaitu kira-kira lebih kurang 1,200 dolar sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan sebelum wafatnya baginda telah memerintahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.


Kebijaksanaan Saidina Abu Bakar juga ternyata dalam polisinya menyamakan pemberian elaun kepada orang-orang yang berhak agar mereka tidak dipisahkan oleh jurang-jurang perbezaan yang jauh agar tidak lahir satu golongan yang mendapat kedudukan yang lebih istimewa dan golongan-golongan yang lain. Sedangkan beliau sendiri hanya mengambil sekadar keperluan-keperluan asasi buat diri dan keluarganya.


Sebelum wafat,  beliau telah mewasiatkan kepada Saidina Umar Al Khattab agar jangan menghiraukan jenazahnya nanti bila beliau pulang ke rahmatullah, melainkan haruslah dia segera mengirim bala tentera ke Iraq untuk membantu Al Muthanna yang sedang bertempur di Iraq itu. Saidina Abu Bakar tidak lupa mengingatkan Saiyidma Umar apa yang dikerjakannya di waktu Rasulullah wafat dan bagaimana cintanya kepada Rasul dan perhatiannya kepada jenazah baginda yang suci itu tidak mengabaikannya dan melaksanakan kewajipan biarpun yang demikian itu amat berat bagi jiwanya. Dengarlah antara lain kata-katanya kepada Umar Al Khattab R.A.:


"Dengarlah hai Umar! Apa yang akan kukatakan ini dan laksanakanlah. Aku mengharap akan kembali ke hadrat Allah hari ini sebab itu sebelum matahari terbit pada esok hari engkau hendaknya telah mengirim bala bantuan kepada Al Muthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besarnya dapat melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang telah ku lakukan tatkala Rasulullah wafat sedang wafatnya Rasulullah itu adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu. Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan RasulNya, tentu kita telah jatuh dan mendapat siksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah ini telah menjadi lautan api.


Dalam masa pemerintahannya yang singkat Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang memerintah hanya dalam masa dua tahun sahaja itu telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemerintahan Islam yang teguh dan kuat setelah berjaya mengatasi berbagai masalah dalam negeri, dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya. Beliau telah memenuhi segenap janji-janjinya dan dalam masa dua tahun pemerintahannya itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang menjadi lembaran-lembaran yang abadi.


Selama dua tahun pemerintahannya itu beliau telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Beliau telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum Muslimin dan bagi memelihara keagungan Agama Islam. Bahkan beliau telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang ketika umur beliau menginjak 63 tahun. Beliau dikebumikan di samping makam Rasulullah S.A.W. di Masjid Madinah. Semoga riwayat serta penjuangan beliau menjadi contoh teladan bagi sekelian kaum Muslimin.






sumber:http://man999.tripod.com/Abu_Bakar.htm

Saturday, July 16, 2011

10 orang sahabat nabi yang dijamin masuk syurga

Sahabat Rasulullah SAW yang dijamin masuk syurga berdasarkan hadits berikut:

Tercatat dalam “ARRIYADH ANNADHIRAH FI MANAQIBIL ASYARAH “ dari sahabat Abu Dzar r.a, bahawa Rasulullah S.A.W masuk ke rumah Aisyah r.a dan bersabda: “Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?” Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.” Lalu Nabi S.A.W bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu(Abu Bakar) masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim, Umar masuk syurga dan kawannya Nuh, Usman masuk syurga dan kawannya adalah Aku, Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakaria, Talhah masuk syurga dan kawannya adalah Daud, Azzubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail, Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman, Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran, Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam, Abu Ubaidah ibnu Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”                                            


Apa yg kita dpt daripada hadis ni?
Daripada hadis ni kita jelas, siapa antara sahabat Rasulullah yang memang dah dijamin masuk syurga. Oleh kerana kita juga mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk bersama-sama Rasulullah SAW masuk ke dalam syurga, jadi amatlah perlu untuk kita kaji dan faham apa yang melayakkan mereka menjadi salah seorang ahli syurga. Bukan calang-calang orang yang diberi anugerah oleh Allah dengan anugerah yang sebegitu hebat. Mereka ini hardcore dalam Islam.Mereka inilah logam. Kenapa saya cakap mereka ‘logam’??

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Seperti logam? Kenapa logam? Cuba kita kaji ciri-ciri logam. Keras, kuat, berguna dalam kehidupan, sesuatu yang penting, kan. Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya dia Islam, nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Sahabat-sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga ini mereka sangat faham mengapa perlunya berkorban dan berjuang. Mereka benar-benar faham kebenaran Islam, Allah sebagai yang Maha Esa dan Rasulullah sebagai utusan dari Allah. Mereka inilah yang sama-sama berjuang dengan Rasulullah SAW dengan seluruh jiwa dan raga dlm menegakkan Islam ketika Islam masih begitu asing dan masih ditindas. Mereka inilah antara orang-orang hebat yang penah wujud diatas muka bumi ini. Tetapi malangnya sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang hebat ini semakin dilupakan. Hampir tidak dikenali lagi. Artis lebih diagung-agungkan. Inilah realiti kehidupan hari ini. Amat menyedihkan. Oleh itu, kita lah yang perlu mengenali dan mengambil pengajaran daripada mereka. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Setiap seorang antara sahabat nabi ini mempunyai personaliti dan kelebihan yang berbeza-beza dan ujian-ujian yang menimpa mereka juga berbeza. Abu Bakar As-Siddiq dengan sifat lemah lembut, Umar Al-Khatab dengan sifat tegas dan garang, Usman bin Affan dikenali dengan sifat pemalunya. Mereka menggunakan sifat-sifat yang berbeza ini kearah pembangunan Islam kerana matlamat hidup mereka sama. Kita juga telah dilahirkan dengan personaliti yang berbeza-beza. Dengan mengenali para sahabat, kita dapat menggunakan sifat-sifat dan kelebihan dalam diri kita ini kearah kebaikan, lantas menyumbang kepada Islam, insyaAllah.

Syurga itu terlampau indah. Sehingga tidak dapat dibayangkan dengan akal akan keindahannya. Hanya orang-orang yang hebat sahaja yang layak masuk ke dalam syurga. Kita tiada pilihan lain, selain menjadi orang yang hebat. Marilah bersama berjuang berbekalkan takwa dalam mengharungi kehidupan ini. Semoga Allah meredhai setiap usaha kita…