Monday, December 12, 2011

Az-Zubair bin Al-Awwam

Abu 'Abdullah Zubair ibn al-Awwam‎ adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Zubair merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda. Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abd Al-Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Zubair memeluk Islam ketika berumur 15 tahun. Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun disiksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya tidak akan kafir kembali sama sekali!".

Zubair adalah perajurit dakwah yang berani menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah. Kepahlawanannya terserlah pertama kali pada waktu Perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pendekarnya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhadap lawan.
Walaupun seluruh tubuh Ubaidah berbalut baju besi sehingga sulit ditembus dengan senjata, Zubair sedia terjun ke medan tempur dan terjadilah perang tanding yang sengit antara Zubair dan Ubaidah. Dalam dua kali putaran Zubair berjaya mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya.

Semasa Perang Uhud pula, Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari itu telah mengajak perang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mahu keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam r.a keluar untuk menghadapinya. Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata: "Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair." Kemudian Baginda berkata lagi: "Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, kerana melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20)

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Aishah binti Abu Bakar dengan pasukan Ali bin Abi Talib, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Selepas itu ketika sedang bersolat, beliau ditikam oleh Amr ibn Jarmouz.

No comments:

Post a Comment