Monday, December 12, 2011

Az-Zubair bin Al-Awwam

Abu 'Abdullah Zubair ibn al-Awwam‎ adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Beliau merupakan salah seorang "mubasyirin bil-jannah" (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Zubair merupakan salah seorang pejuang yang hebat. Bersama dengan Khalid Al-Walid, mereka berdua sahaja yang berkeupayaan untuk berperang dengan dua pedang dalam satu masa, walaupun ketika menunggang kuda. Zubair berasal dari Bani Asad, merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abd Al-Muttalib. Zubair berkahwin dengan Asma binti Abu Bakar. Hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki iaitu, Abdullah ibn Zubair, Urwah ibn Zubair dan Ursa ibn Zubair.

Zubair memeluk Islam ketika berumur 15 tahun. Semasa Zubair memeluk Islam, diceritakan bahawa bapa saudaranya pernah menghukum beliau dengan membalutnya di dalam tikar lalu kakinya digantung di atas dan di bawah kepalanya api yang membara. Bapa saudaranya Naufil memaksanya kembali menyembah berhala, tetapi walaupun disiksa berkali-kali, Zubair menegaskan "Saya tidak akan kafir kembali sama sekali!".

Zubair adalah perajurit dakwah yang berani menyandang senjata untuk melawan orang-orang yang menghendaki gugurnya dakwah Islamiah. Kepahlawanannya terserlah pertama kali pada waktu Perang Badar. Dalam peperangan itu, pasukan Quraisy menempatkan pendekarnya di barisan paling hadapan yang dipimpin oleh Ubaidah bin Said Ibnul Aash. Beliau dikenal sebagai seorang yang paling berani, paling pandai dalam menunggang kuda dan paling kejam terhadap lawan.
Walaupun seluruh tubuh Ubaidah berbalut baju besi sehingga sulit ditembus dengan senjata, Zubair sedia terjun ke medan tempur dan terjadilah perang tanding yang sengit antara Zubair dan Ubaidah. Dalam dua kali putaran Zubair berjaya mengarahkan lembingnya ke mata Ubaidah dan berhasil menusuk kedua mata itu sampai ke belakang kepalanya.

Semasa Perang Uhud pula, Talhah bin Abu Talhah Al-Abdari, pembawa bendera kaum Musyrikin pada hari itu telah mengajak perang tanding, tetapi tiada seorang pun yang mahu keluar menemuinya. Maka Zubair bin Al-Awwam r.a keluar untuk menghadapinya. Mereka berdua bertarung sampai Zubair melompat ke atas untanya, dan menariknya jatuh ke atas tanah, dan di situ dia bertarung dengan Talhah, sehingga akhirnya Zubair dapat mengalahkan Talhah dan membunuhnya dengan pedangnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata: "Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair." Kemudian Baginda berkata lagi: "Kalau Zubair tidak keluar melawannya, nescaya aku sendiri yang akan keluar dan melawannya, kerana melihat banyak orang yang tidak sanggup melawannya. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:20)

Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Aishah binti Abu Bakar dengan pasukan Ali bin Abi Talib, Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Selepas itu ketika sedang bersolat, beliau ditikam oleh Amr ibn Jarmouz.

Friday, December 9, 2011

Talhah bin Ubaidillah

       Nama sebenar beliau ialah Uthman bin Amru. Beliau dilahirkan 28 tahun sebelum Hijrah. Berasal dari kaum QUraisy tetapi lain suku dengan Rasulullah s.a.w. Ibu beliau bernama Sa'abah binti al-Hadram berasal dari Yaman. Pada awalnya, Talhah ibn Ubaidillah merupakan seorang peniaga kain. Beliau kerap berniaga dan membawa barangan berharga dari Syria. Sebelum memeluk Islam, Talhah pernah ke Basrah dan bertemu seorang pendita. Pendita ini lah yang memberitahu kepada beliau akan datang seorang Nabi bernama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib. Setelah pulang ke Makkah, beliau bertemu Abu Bakar r.a dan mengadap Rasulullah untuk mengucap dua kalimah syahadah. Beliau memeluk Islam semasa umurnya 18 tahun. 


Beliau terkenal sebagai seorang saudagar yang kaya raya. Menurut Ibnu Khaldun dalam muqaddimah, diera Usman, kemasukan harian Talhah dari penjuru Iraq berjumlah lebih kurang 1,000 dinar emas setiap hari. Pada zaman nabi, beliau turut serta dalam Perang Uhud disamping peperangan yang lain selepas itu. Beliau tidak dapat menyertai Peperang Badar disebabkan pada masa itu beliau berada di Syam.

Antara ciri-ciri unggul yang ada pada Talhah adalah sifat beraninya semasa berada didalam medan perjuangan. Sifat ini terserlah semasa Perang Uhud pada tahun ke 3 Hijrah. Semasa tentera kafir Quraisy melakukan serangan mengejut nabi telah tercedera dan pada ketika itu sahabat yang pertama berada disisi nabi bagi melindungi baginda adalah Talhah bin Ubaidillah. Beliau menjadikan badannya sebagai perisai semasa menghadapi serangan musuh yang datang bertubi-tubi bagi membunuh nabi. Akhirnya badannya dipenuhi lebih kurang 70 kesan luka, jari-jari tangannya juga putus.  Rasulullah s.a.w menggelarkan beliau sebagai "Syahid yang hidup" kerana keadaan fizikalnya ketika itu yang sudah cedera akibat terlibat dengan banyak pertempuran bersama baginda. Hadis Nabi berkenaan kehebatan beliau:
"Barangsiapa yang ingin melihat syahid yang sedang berjalan di muka bumi ini, lihatlah pada Talhah ibn Ubaidillah".


Beliau turut terlibat dalam siri Peperangan Islam-Rom Byzantine. Ketika Perang Jamal, beliau berada di pihak Saidatina Aishah binti Abu Bakar bersama Zubair ibn Awwam menentang Khalifah Ali bin Abi Talib. Beliau akhirnya terkorban akibat lembing beracun yang dilemparkan oleh Marwan bin al-Hakam pada tahun 36 Hijrah sewaktu berusia 63 tahun.